Wednesday, April 27, 2011

Hebat.. :)

Pemain muda lakar kejutan Skuasy Asia


KUALA LUMPUR - Jaguh No. 1 dunia, Datuk Nicol David dan Ong Beng Hee mengetuai kemaraan lapan pemain Malaysia ke suku akhir Kejohanan Skuasy Asia, namun paling mencuri tumpuan semalam pastinya pemain muda negara, Elvinn Keo yang melakar kejutan terbesar ke atas pemain pilihan, Dick Lau untuk turut meneruskan cabaran
Menyerap semangat beraksi di negeri kelahirannya, Pulau Pinang, Elvinn, 22, mempamer semangat juang hebat ketika mengejutkan pilihan kelima, Dick dari Hong Kong 11-7, 10-12, 11-8, 6-11, 11-9 dalam pertarungan sengit yang selama 1 jam, 16 minit di Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David di Bukit Dumbar.
Ini adalah kejutan kedua berturut-turut dicatat Elvinn selepas turut menyingkirkan pilihan kesembilan, Waqar Mehboob dari Pakistan di pusingan kedua kelmarin, dan kemenangan itu bakal menemukannya dengan rakan senegara dan juara empat kali, Beng Hee.
Biarpun Beng Hee, pilihan kedua kejohanan merupakan sandaran utama Malaysia untuk merangkul kejuaraan lelaki, namun prestasi goyah dipamer jaguh negara itu ketika mengetepikan seorang lagi pemain muda senegara, Kamran Khan 12-10, 11-8, 11-9 dalam masa 55 minit memberi harapan buat Elvinn untuk mencari satu lagi kejutan.
Cabaran lelaki negara turut diteruskan oleh Muhd. Asyraf Azan dan Mohd. Nafiizwan Mohd. Adnan yang menempah pertemuan suku akhir sesama sendiri hari ini. Asyraf, pilihan ke-5/8 dipaksa berhempas pulas menundukkan cabaran pemain Hong Kong, Leo Au 11-9, 8-11, 11-2, 11-5, manakala Nafiizwan, pilihan ke-3/4 mudah mengetepikan Waqas Mehboob dari Pakistan 11-1, 11-6, 11-6.
Dalam saingan wanita, Nicol mencerahkan harapan untuk memburu kejuaraan kelapan berturut-turut dengan mudah menewaskan pemain Singapura, Jerryca Teo 11-2, 11-6, 11-4 hanya dalam masa 24 minit, sekali gus akan berdepan Chan Ho-Ling Joey dari Hong Kong.
Turut mara, Low Wee Wern yang menempah pertemuan dengan rakan senegara, Siti Munirah Jusoh selepas mengetepikan seorang lagi rakan sepasukan, Zulhijjah Azan 11-4, 11-7, 11-6. Siti Munirah mara selepas berhempas pulas menumpaskan Liu Tsz-Ling dari Hong Kong 11-5, 11-7, 10-12, 12-10 dalam masa 62 minit.
Turut meneruskan cabaran wanita adalah Delia Arnold, yang tidak menghadapi banyak masalah ketika menundukkan Ga Hye Kim dari Korea 11-5, 11-6, 11-9. Cabaran getir bagaimanapun menanti Delia di suku akhir hari ini apabila berdepan pilihan ke-5/8 Dipika Pallikal dari India.

No comments:

Post a Comment